NASIONAL

Guru besar perlu amanah urus bantuan pendidikan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Kementerian Pendidikan hanya akan memilih guru besar berintegriti dan amanah ke arah memastikan semua bantuan disalurkan kepada murid, termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) diurus dengan baik.

Menternya, Dr Maszlee Malik berkata, ia bagi memastikan mereka yang menyandang jawatan itu melaksanakan tugas dengan baik, termasuk dalam soal mengendalikan bantuan berkenaan.

Beliau berkata, proses pemantauan juga diwujudkan untuk dilaksana Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memastikan sekolah mematuhi Surat Pekeliling Kewangan serta Buku Panduan Pengurusan RMT yang disediakan kementerian.

“Bakal pentadbir sekolah juga diberi pendedahan awal di Institut Aminuddin Baki dalam kursus Program Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NQPEL) berkaitan pengurusan program RMT.

“Ini bagi memastikan latihan cukup dan terlatih untuk menguruskan RMT,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam), di Dewan Rakyat berkenaan langkah kerajaan dalam memastikan dana RMT kepada sekolah diurus dengan baik.

Menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang) berkenaan pendirian kementerian dalam soal makanan tidak berkualiti disediakan pengendali makanan di bawah kemudahan RMT, Maszlee berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara itu.

“Kita akan lihat kes satu persatu yang mana pengendali makanan di bawah RMT yang tidak menjaga kualiti akan dikenakan amaran dan jika berulang, tindakan tegas akan dilaksanakan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :