PBTSELANGOR

Guru teladan rangsang pelajar amal kitar semula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Guru perlu menunjukkan teladan baik kepada pelajar supaya melaksanakan amalan kitar semula barangan sebagai usaha membantu kelestarian ekosistem.

Zaileha Husin, 53, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 berkata, keikhlasan seorang guru bakal memberi perangsang kepada pelajar dalam penerapan nilai murni supaya amalan kitar semula bukan sahaja dilakukan di sekolah tetapi di rumah.

“Kita kutip bahan kitar semula kena ikhlas. Tugas guru adalah mengajar tetapi mengutip sampah dan menyediakan tempat (membuang bahan kitar semula) untuk pelajar juga menjadi tanggungjawab kita.

“Saya sendiri menjadikan amalam mengutip bahan kitar semula seperti botol sebagai denda kepada pelajar yang tidak mencapai keputusan baik dalam ujian supaya mereka ingat kepentingannya kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima Anugerah Guru Cemerlang Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Fraser & Neave (F&N) Holdings Bhd di Dewan Banquet MBSA, di sini.

Berkhidmat hampir 15 tahun di SMK Seksyen 16, katanya, amalan kitar semula disambut baik semua pelajar dan guru menerusi pembabitan dalam Kelab Kitar Semula selain menyertai beberapa pertandingan.

Katanya, langkah itu meningkatkan minat pelajar untuk melaksanakan amalan terpuji itu dan hasilnya sebuah tong sampah menggunakan penutup botol berjaya disipakan sekolah berkenaan.

“Untuk mengumpul barangan kitar semula, kita akan mengadakan pertandingan antara kelas dengan pemenang dipilih setiap bulan.

“Kita juga ada rekod jumlah yang dihantar setiap kelas dan pada penghujung tahun, kelas terbaik akan menerima penghargaan sempena Hari Kualiti,” katanya.

Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah kali ke-12 itu dianjurkan dengan sumbangan tunai RM28,200 daripada F&N Holdings Bhd, sementara Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd menyumbang wang tunai RM1,500 untuk hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Pada 2018, pertandingan itu berjaya mengumpul kutipan barangan kitar semula sebanyak 175,161 kilogram (kg), berbanding 143,946 kg pada 2017. manakala 1,044 unit kutipan bagi sisa elektronik.


Pengarang :