SELANGOR

Hanya import sisa plastik bersih untuk kitar semula

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri setakat ini tidak berhasrat menghentikan sepenuhnya pengimportan sisa plastik untuk dikitar semula, di Selangor.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi, Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, ia kerana tidak adil kepada pengusaha kilang kitar semula berlesen jika dihentikan pengimportan berkenaan memandangkan mereka sudah melaburkan modal besar bagi tujuan itu.

Beliau turut menegaskan hanya sisa bersih serta berkualiti sahaja dibenarkan bagi diproses industri terbabit, di negeri itu.

“Walaupun kita ada memikirkan untuk mengharamkan semua kilang kitar semula ini, namun ada pengusaha kilang berlesen melabur wang besar menyediakan mesin, sistem penapis udara dan merawat air yang canggih, justeru mereka berhak mendapatkan bekalan (sisa plastik import) untuk diproses.

“Sisa plastik ini ada yang berkualiti, ada yang tidak. Pada masa akan datang, kita akan pastikan mengimport hanya sisa berkualiti dan bersih untuk dikitar semula (oleh kilang berlesen),” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) berhubung masalah sisa plastik, di Selangor dan tindakan untuk membatalkan permit import bagi membanteras isu kilang kitar semula haram.

Sementara itu, mengulas berkenaan permit import sisa plastik itu, katanya, ia banyak disalah guna pihak tertentu sebelum ini menyebabkan wujudnya kilang haram, di Selangor.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan sudah mengambil pendekatan serius bagi menangani isu berkenaan.

Pada 5 November lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan tidak bercadang mengubah Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara, namun akan meningkat dan memperketatkan syarat permohonan permit import (AP) sisa plastik.​​​​​​​

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT juga akan meningkatkan penguat kuasaan serta mengadakan pemantauan rapi terhadap kilang yang beroperasi, di seluruh negara.


Pengarang :