Selangorkini
SELANGOR

Hari Bebas Kenderaan @ Cyberjaya beri manfaat masyarakat awam

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA, 21 NOV: Program Hari Bebas Kenderaan @ Cyberjaya anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) memberi faedah kepada masyarakat khususnya komuniti setempat dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, penganjuran program itu adalah usaha dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dan seiring dengan ‘Go Green Initiative’ digariskan Kerajaan Negeri.

“Kita mengadakannya bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti di Cyberjaya tetapi masyarakat awam kerana ia mengurangkan kesesakan trafik dan pelepasan gas karbon.

“Usaha ini secara tidak langsung akan menyuburkan gaya hidup sihat, sama ada dengan berjalan atau berlari kerana ia menggalakkan masyarakat menikmati dan meneroka taman di sini,” katanya.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Ia mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dalam acara ‘10,000 Banana Walk’ iaitu salah satu aktiviti dijayakan dalam program berkenaan.

Aktiviti terbabit merangkumi jarak sejauh lebih kurang 7.5 kilometer dan peserta hadir seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan kemeja-t seterusnya memanaskan badan dengan aktiviti zumba sebelum dilepaskan secara rasmi.

Program dengan kerjasama Setia Haruman Sdn Bhd turut memberi peluang kepada peserta dan pengunjung mendapat perkhidmatan pemeriksaan pergigian percuma daripada Klinik Pergigian Daerah Sepang serta pemeriksaan kesihatan percuma (HN Health Solution dan Klinik Kesihatan Daerah Sepang).

Aktiviti lain ialah Pre-Viper Challenge 2018 di mana terdapat empat halangan disediakan untuk menguji daya tahan setiap peserta dan ia adalah acara permulaan sebelum finale pada 8 Disember ini.

Pelbagai gerai jualan juga disediakan antaranya barangan basikal dan alatan mendaki dipamerkan Cyberjaya Recreation & Cycling Club dan GO Cyberjaya Cycling Shop serta iCYCLE Malaysia untuk mempromiskan aktiviti ‘Plogging’ iaitu satu bentuk senaman membabitkan aktiviti mengutip sampah semasa berjoging.

Juice Lab turut menyediakan jus minuman segar kepada peserta untuk menyegarkan diri mereka.


Pengarang :