Hasil cukai pelancongan dikongsi dengan kerajaan negeri | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Hasil cukai pelancongan dikongsi dengan kerajaan negeri

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan akan melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang diterima dengan Kerajaan Negeri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini, Lim berkata langkah itu bertujuan membolehkan Kerajaan Negeri menerima hasil tambahan yang secara agregat dianggarkan berjumlah RM50 juta apabila aktiviti pelancongan dipergiat.

Menerusi belanjawan bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, Lim berkata kerajaan juga akan menyediakan geran sepadan berjumlah RM100 juta kepada syarikat swasta untuk program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa dalam usaha meningkatkan angka ketibaan pelancong.


“Industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM201.4 bilion pada 2017. ​​​​​​Kerajaan akan menitikberatkan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara pada 2020,” katanya.

Dalam memastikan pelancongan kesihatan negara mendapat pengiktirafan negara luar, Lim berkata peruntukan sebanyak RM20 juta diberi kepada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk jalinan kerjasama dengan hospital swasta terkemuka.

Katanya, ia bertujuan menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan terpilih dan meningkatkan kadar pertumbuhan sektor itu sebanyak 25 peratus tahun hadapan.

Bagi memperkasakan lagi sektor pelancongan negara, Lim berkata taraf Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan diperkembang manakala Pulau Pangkor akan dijadikan sebagai pulau bebas cukai.

“Kerajaan akan memberi kemudahan bebas cukai kepada kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang bai menggalakkan lagi sektor pelancongan kapal persiaran,” katanya.

Menerusi program pemuliharaan dan pembugaran bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara, Lim berkata Khazanah Nasional Bhd diberi tanggungjawab menerajui projek itu dengan kerjasama Think City dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Selain itu, Lim berkata kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak dua peratus untuk pinjaman Tabung Pelancongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) RM500 juta yang disediakan SME Bank.

Langkah itu akan membantu pengusaha kraftangan dan inap desa untuk meluaskan perniagaan, kata Lim.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next