EKONOMINASIONAL

Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka cecah RM261.8 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Hasil Kerajaan Persekutuan termasuk dividen khas PETRONAS dijangka lebih tinggi sebanyak RM261.8 bilion atau 17.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, berbanding RM236.5 bilion atau 16.5 peratus kepada KDNK yang diunjurkan bagi 2018.

Dari jumlah itu, hasil cukai menjadi komponen utama dengan jangkaan kutipan RM176.2 bilion berbanding sasaran RM174.7 bilion yang disemak bagi 2018.

Bagaimanapun, peratusan kepada KDNK dijangka menyusut sedikit kepada 11.5 peratus daripada 12.2 peratus pada 2018, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.

Secara keseluruhan, kutipan cukai langsung dijangka menyumbang 76.7 peratus kepada hasil cukai kepada RM135.1 bilion pada 2019, peningkatan 1.2 peratus berbanding RM133.5 bilion yang diunjurkan pada 2018.

Peningkatan ini diunjur akan disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) yang lebih tinggi sebanyak RM18.1 bilion berbanding RM16.8 bilion yang dianggarkan pada 2018 di tengah-tengah andaian harga minyak mentah yang sederhana.

Sementara itu, cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat (CITA) dijangka berjumlah RM35 bilion (2018: RM34.8 bilion) dan RM70.2 bilion (2018: RM70.5 bilion) pada 2019.

Hasil daripada duti setem (2019: RM6.3 bilion), Cukai Keuntungan Harta Tanah (2019: RM1.8 bilion) dan cukai langsung lain pula, dijangka meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada RM8.2 bilion tahun depan.

“Pada masa sama, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Cukai untuk melakukan kajian menyeluruh sistem percukaian bertujuan memperluaskan asas cukai dan mengurangkan jurang cukai,” kata laporan itu.

Bagi cukai tidak langsung, kutipan dijangka menurun sedikit kepada RM41.1 bilion (2018: RM41.2 bilion) dengan RM22 bilion dianggarkan disumbangkan oleh pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Kutipan duti eksais pada 2019 pula dijangka akan meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM11.4 bilion berikutan permintaan yang lebih tinggi ke atas kenderaan bermotor.

“Berdasarkan kajian separuh pertama 2018 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan kenderaan dijangka meningkat dua peratus pada 2019 sejajar permintaan berterusan untuk model kenderaan baharu dan promosi agresif oleh syarikat automotif,” tambah laporan itu.

Sementara itu, duti eksport dijangka kekal pada RM1.6 bilion dan duti import meningkat lima peratus kepada RM2.9 bilion (2018: RM2.8 bilion).

Bagi hasil bukan cukai, kutipan disasarkan melonjak kepada RM85.7 bilion pada 2019 daripada jangkaan RM61.8 bilion bagi 2018 disumbang oleh kutipan faedah dan pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

Sebahagian besar pulangan pelaburan meliputi dividen daripada PETRONAS berjumlah RM54 bilion tahun ini berbanding anggaran RM26 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada RM54 bilion, RM30 bilion adalah dividen khas yang akan digunakan untuk membayar balik tunggakan bayaran balik cukai.

“Pembayaran bayaran balik cukai akan meningkatkan aliran tunai perniagaan dan isi rumah, seterusnya merangsang aktiviti ekonomi,” jelas laporan itu.

Sementara itu, kutipan hasil lesen dan permit disasarkan berkembang enam peratus kepada RM15.6 bilion, disumbang oleh kutipan royalti petroleum sebanyak RM5.6 bilion, lesen kenderaan bermotor sebanyak RM3.5 bilion dan levi pekerja asing.

Peratusan pendapatan berkaitan petroleum kepada jumlah hasil tidak termasuk dividen khas PETRONAS dianggarkan meningkat sedikit kepada 19.5 peratus pada 2019 daripada 21.7 peratus, tahun lepas.

“Walaupun cukai berasaskan kepenggunaan berkurang, peratusan hasil berkaitan petroleum masih rendah daripada purata tahunan sebanyak 34.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh 2009-2014.

“Ini menunjukan bahawa sumber hasil kerajaan kekal pelbagai. Kerajaan dijangka dapat meningkatkan asas pendapatan bukan petroleum terutamanya dari inisiatif pembaharuan cukai,” kata laporan itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :