NASIONAL

Heret dalang politik wang ke SPRM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berharap dalang yang mengamalkan politik wang dalam pemilihan parti diheret ke muka pengadilan

Bercakap dalam satu majlis bersama anggota parti di Kuching Sarawak semalam, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menahan dan menyiasat aduan yang sudah dilaporkan.

“Saya mahu SPRM teruskan siasatan bukan sahaja melihat kepada siapa yang terbabit tetapi siasat siapa dalang untuk dihadapkan ke muka pengadilan, jangan runtuhkan apa yang kita bina selama 20 tahun.

“Jangan kerana kerakusan nak letakkan anak kamu, nak letak pakcik kamu, nak letak bapa saudara kamu, nak letak bapa kamu, kamu hina anggota yang lama berjuang menegakkan keadilan di bumi Kenyalang,” katanya.

Sebelum ini terdapat dakwaan wujudnya politik wang membabitkan pihak tertentu bagi meraih undi dalam Pemilihan KEADILAN 2018.

Ia turut disusuli dengan beberapa aduan berhubung senarai daftar pemilih anggota parti serta penagguhan proses pengundian, di beberapa cabang.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghina aggota lama parti yang sudah lama berjuang sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, beliau turut menggesa anggota parti untuk keluar menjalankan tanggungjawab dalam pemilihan parti, hujung minggu ini.


Pengarang :