SELANGOR

Hospital Serdang perlukan parkir bertingkat – ADN Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 2 NOV: Kemudahan parkir kereta bertingkat di Hospital Serdang sudah dikemukakan bagi menangani masalah kekurangan parkir sekali gus mengatasi masalah parkir di bahu jalan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, bagaimanapun cadangan itu masih belum mendapat kelulusan dan pihaknya berharap Menteri Kesihatan memberi keutamaan untuk pembangunan kemudahan itu.

“Pengunjung Hospital Serdang kerap kali mengadu disaman polis kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan raya gara-gara tidak mempunyai tempat letak kereta.

“Isu ini telah lama dibangkitkan penduduk dan juga pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini, mereka menghadapi masalah mencari tempat letak kereta dan terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan luar daripada kawasan hospital.

 

“Justeru itu, saya berharap supaya Menteri Kesihatan memberi keutamaan kepada Hospital Serdang untuk membina tempat letak bertingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Jalan Hospital Serdang bersama penduduk setempat.

Hian Wah berkata, cadangan itu memerlukan peruntukan lebih kurang RM84 juta dan dijangka boleh memuatkan 2,000 kenderaan.

“Saya amat berharap supaya kemudahan ini segera dilaksanakan sekali gus memudahkan orang awam,” katanya.


Pengarang :