SELANGOR

Hutan Simpan Kekal Selangor dijangka terus meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Jumlah keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK), di Selangor dijangka akan meningkat kepada 250,501.18 hektar menjelang hujung tahun ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, setakat ini, jumlah keseluruhan HSK adalah 250,290 hektar selepas pertambahan dua kawasan tanah kerajaan yang dijadikan HSK.

Katanya, ia membabitkan Hutan Simpan (HS) Bukit Lagong (40 hektar) dan HS Gombak Tambahan III (60 hektar).

“Pewartaan HS Gombak Tambahan III adalah bagi kawasan penggantian ke atas pemansuhan HSK di HS Gombak bagi kegunaan tahan perkuburan.

“Ketika ini, Jabatan Perhutanan Negeri sedang giat melaksanakan proses mewartakan tanah kerajaan Taman Alam, di Kuala Selangor seluas 292.18 hektar untuk dijadikan HSK.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri yakin jumlah HSK akan meningkat kepada 250,501.18 hektar hujung tahun ini,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia berjaya menyenaraikan kedudukan kendirian atau kehadiran setiap pokok dalam Buku Diprerokarpa Terancam, di Semenanjung Malaysia.

“Hanya 19 spesis pokok sahaja yang di endemik di Selangor. Selain itu, 24 spesis pokok shrub, 29 spesis pokok herba, lima (pepanjat), empat (epipfit) dan satu (pakis),” katanya.


Pengarang :