SELANGOR

Industri akuakultur perlu lebih dipergiat selaras Revolusi Industri 4.0

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 NOV: Pembangunan teknologi industri akuakultur di Malaysia perlu diberi perhatian dan lebih dipergiat selaras mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Sharr Azni Harmin berkata, hal itu memandangkan sektor perikanan memainkan peranan yang cukup signifikan, khususnya dalam membekalkan makanan berasaskan ikan.

“Sektor ini mengeluarkan 1.99 juta tan bernilai RM13.18 juta selain sumbangan daripada sumber akuakultur 506,454 tan bernilai RM3.3 juta.

“Oleh kerana penurunan dalam hasil tangkapan, akuakultur kini merupakan salah satu sumber utama protein bagi 30.75 juta penduduk di negara ini.

“Bagaimanapun, clarkias, phantasies dan tilapia juga antara spesis yang masih mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Syarahan Profesor Kali Kelima sempena Ekspo Inovasi dan Kreativiti 2018 (SLICE18), di Auditorium UNISEL kampus Shah Alam, di sini, semalam.

Mengupas topik “Into The Blue: The Promise of Aquaculture”, perbincangan itu memfokuskan kepada spesis akuatik dan teknologi dalam industri perikanan di Malaysia, sejajar objektif utama SLICE18 untuk mempamerkan lebih banyak hasil inovasi dalam IR4.0.

Pada masa sama, Dr Sharr Azni berkata, produktiviti bagi spesis akuatik terutama spesis berharga boleh meningkat dengan pesat di bawah pengurusan yang betul.

Katanya, pemilihan genetik daripada kepelbagaian ciri akan dapat meningkatkan produktiviti, sekali gus meningkatkan pasaran perikanan di Malaysia.

“Prinsip dan tujuan sains akuakultur adalah bagi mengembangkan sistem marin di mana organisma akuatik dapat membesar dan dituai dalam kadar lestari tanpa merosakkan alam sekitar,” katanya.

Terdahulu, SLICE18 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November ini menjadi medium merangsang pelajar dan golongan penyelidik tempatan untuk bersama memperlihatkan inovasi, seiring pembangunan IR 4.0 di Malaysia.


Pengarang :