BERITA UTAMASELANGOR

IPR tumpu aspek pemberdayaan dan pemerkasaan rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Selepas 10 tahun diperkenalkan, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan memberikan tumpuan kepada aspek pemberdayaan dan pemerkasaan kehidupan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun Kerajaan Negeri masih meneruskan pemberian bantuan kepada golongan sasaran, namun anjakan paradigma perlu dilakukan supaya rakyat tidak hanya bergantung kepada sumbangan semata-mata tetapi bangkit merubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Kita sedang melakukan beberapa kajian untuk melihat sejauh mana program IPR itu berjaya mengubah kehidupan dan keluar daripada kemiskinan.

“Kita perlu melihat adakah rakyat bergantung semata-mata kepada bantuan Kerajaan walaupun menjadi tanggungjawab kita untuk saling membantu.

 

“Rakyat harus diberdayakan dan kita perlu menumpukan kepada aspek itu. Bukan hanya memberikan tunai secara terus kepada rakyat semata-mata tetapi kemahiran dan potensi mereka perlu diasah dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Penjawat Awam bersama Dato’ Menteri Besar serta Barisan EXCO Kerajaan Negeri bersempena Jelajah Maju Bersama ke Daerah Sabak Bernam, hari ini.

Sebagi contoh katanya, program bantuan perniagaan HIJRAH Selangor yang memberikan pinjaman kepada 50,000 rakyat menyaksikan 60 peratus daripadanya berjaya merubah kehidupan dengan perningkatan pendapatan.

Jelasnya, langkah Kerajaan Negeri ini bukan bermaksud menarik bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat selama ini tetapi lebih mendidik rakyat memantapkan kemahiran ke arah kejayaan lebih baik.

Amirudin berkata, penjawat awam selaku pelaksana dan wakil Kerajaan Negeri sendiri perlu bersedia menghadapi perubahan itu supaya semua perancangan dapat direalisasikan dengan baik kepada rakyat.

“Saya berharap penjawat awam di Selangor dapat bekerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan serta memperkukuh hubungan supaya tidak ada pelusuk di negeri ini terpinggir dari arus kemajuan.

“Kita harus mara kehadapan dan tidak berada di takuk lama kerana kegagalan merubah sikap tidak akan mendatangkan hasil diharapkan,” katanya.


Pengarang :