BERITA UTAMASELANGOR

Isu kuil: Kerajaan Negeri ambil tindakan tegas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 NOV: Tindakan susulan akan dilaksanakan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri, petang ini bagi mengembalikan ketenteraman ekoran kekecohan yang berlaku, di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, di sini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sudah meminta pihak berkaitan mengambil tindakan tegas ekoran isu terbabit merebak menjadi isu keselamatan.

“Saya perlu bertindak tegas kerana mahu memastikan ketenteraman dapat dikekalkan.

“Hasil perbincangan mesyuarat itu nanti, kita akan mengetahui situasi sebenar, siapa terbabit dan apakah tindakan serta kawalan keselamatan,” katanya kepada pemberita di Lobi Dewan Annex, di sini.

Pada masa sama, beliau sekali lagi turut menegaskan supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan berbaur kecaman.

“Saya minta pihak berkepentingan atau tidak berkepentingan supaya tidak mengeluarkan kenyataan seperti menyimbah minyak pada api yang sedang marak.

“Saya juga meminta supaya kejadian seperti semalam tidak lagi berlaku, lebih lagi kejadian yang menimpa kakitangan Bomba yang sedang bertugas mengawal kebakaran tetapi dipukul individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, katanya, atas nasihat polis, beliau dilarang ke tempat kejadian kerana bimbang keselamatannya digugat.

Terdahulu, polis menahan 17 lelaki bagi membantu siasatan kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi tadi sehingga menyebabkan kecederaan terhadap beberapa individu selain 18 kenderaan dan dua motosikal dirosakkan serta dibakar.


Pengarang :