Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

Isu papan tanda, MPSJ tunggu pekeliling baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG, 22 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menunggu pekeliling terbaharu daripada Kerajaan Negeri berhubung penggunaan Bahasa Melayu, pada setiap papan tanda di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, sebelum ini penggunaan papan tanda dwibahasa hanya diterima untuk digunakan bagi kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Cina.

“MPSJ akan menunggu keputusan Kerajaan Negeri berhubung perkara ini sama ada ia perlu diteruskan atau kembali kepada dasar asal iaitu menggunakan Bahasa Melayu sahaja,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan isu penggunaan papan tanda dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin mencetuskan polemik sehingga menjadi tular, di media sosial.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kemudian menitahkan supaya papan tanda jalan yang menggunakan Bahasa Mandarin diturunkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan bahasa tunggal, iaitu Bahasa Melayu.

Perkara itu dititahkan baginda menerusi salinan surat rasmi bertarikh 19 November yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan untuk maklumkan, tindakan serta perhatian Datuk Bandar Shah Alam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, beliau pernah melalui pengalaman sama apabila Tuanku pernah membuat teguran ketika beliau memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Pada waktu itu, Tuanku ternampak papan tanda dwibahasa berkenaan di jalan utama di Kuala Selangor, dan kemudian menitahkan supaya ia ditukar.

“Namun, secara dasarnya semua papan tanda di negara ini perlu mengikut dasar bahasa kebangsaan,” katanya.

 

 


Pengarang :