AGAMANASIONAL

Jadikan pengajaran Rasulullah sebagai model terbaik Malaysia baharu

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru umat Islam di negara ini untuk saling mendengar suara dan pandangan antara satu sama lain, dengan menjadikan ibrah (pengajaran) Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik dalam membina Malaysia baharu.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu, mereka juga perlu meraikan persamaan serta bertolak ansur dalam perkara yang berbeza.

“Menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan atau model hidup seseorang manusia tidak pernah merugikan. Baginda telah menunjukkan contoh teladan terbaik sama ada sebagai seorang lelaki, suami, bapa, guru, pemimpin, panglima perang, diplomat dan lain-lain lagi.

“Rasullah SAW sentiasa berpandangan jauh dan dalam masa yang sama tidak lupa berfikir mencari yang terbaik bagi umat baginda dalam isu-isu semasa yang berlaku di sepanjang hayat baginda,” katanya dalam perutusan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1440H.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengajak umat Islam untuk bersama-sama membuat sedikit anjakan paradigma dalam mengamalkan ajaran Rasulullah SAW agar ia tidak hanya berlegar dalam konteks amalan kendiri sahaja.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, umat Islam turut dinasihati untuk meletakkan azam dalam jiwa agar ajaran baginda disebarluaskan kepada seluruh manusia sejagat.

Timbalan Perdana Menteri berkata sungguhpun terdapat pihak yang cuba menafi, menyaingi dan menandingi ajaran baginda dengan memberi ajaran alternatif, namun ia tetap unggul dan utuh sebagai yang terbaik serta menyeluruh kerana ajaran baginda adalah berasaskan wahyu serta bukan sekadar satu ideologi dan pemikiran semata-mata.

“Dilihat daripada ajaran, bimbingan, suruhan, larangan dan teladan yang telah baginda tunjukkan semuanya menyelamatkan manusia daripada kehancuran sama ada kepada diri, masyarakat atau dunia sejagat,” jelasnya.

Dr Wan Azizah turut menyeru umat Islam melakukan pengisian yang bermanfaat dan berguna dalam suasana sambutan Maulidur Rasul 1440H agar kita dapat meningkatkan kefahaman dan ibrah daripada sirah dan sunnah baginda Rasulullah.

“Justeru, janganlah usaha ini hanya pada musim Maulidur Rasul sahaja bahkan untuk sepanjang hayat kita sebagai umat. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1440H,” tambahnya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :