EKONOMISELANGOR

JAIS, Invest Selangor bekerjasama bangunkan industri halal Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Invest Selangor menjalin kerjasama membangunkan Selangor Halal Industry Action Plan (SELHAP) bagi merancakkan pembangunan industri halal negeri itu.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, Halal Selangor mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan sebagai sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui strategi memperkasakan ekosistem halal sedia ada khususnya Pensijilan Halal Malaysia.

“Dalam tempoh terdekat ini, Selangor menyasarkan menjadi negeri pengeluar bahan ramuan halal untuk produk kosmetik dan farmaseutikal dalam memenuhi permintaan global.

“Pada Julai 2019 kelak, JAIS akan menganjurkan Festival Halal Selangor yang merupakan program dwi tahunan bertujuan mempromosikan syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Selangor sekali gus memperkenalkan hasil produk industri dari Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Persidangan Persidangan Panel Pengesahan Halal Malaysia 2018 di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Mohd Amin berkata, JAIS kini menerima lima jenis skim permohonan daripada keseluruhan tujuh jenis skim yang dilaksanakan iaitu produk makanan dan minuman, premis makanan, kosmetik, barang gunaan dan rumah sembelihan.

Sementara itu pada majlis sama, JAIS turut meraikan dan memberi pengiktirafan kepada 60 pemain industri daripada keseluruhan 1,845 syarikat berdaftar dengan Pensijilan Halal Malaysia melalui JAIS.

“Mereka menunjukkan kecemerlangan dan komitmen mereka terhadap Pensijilan Halal Malaysia dan mereka ini adalah antara terpilih dan menunjukkan kompetensi serta pematuhan tinggi terhadap sistem pengurusan halal bermula di peringkat dalaman industri lagi,” katanya.


Pengarang :