SASTERA

Jalan pintas ke podium sastera

Oleh Roslan Jomel

 Seo Ji-Woo tergelincir ke jalan hitam yang meremukkan harga dirinya. Desakan cemburu dan rimas berada di balik topeng ikon menghasut emosi mudanya. Suatu hari dia menjumpai manuskrip cerpen mentornya, Lee Jeok-yo, sasterawan legenda 70 tahun. Seo Ji-Woo masih hijau, menginginkan bakat serta namanya meniti harum dalam radius sastera. Tanpa rasa bersalah dia menerbitkan cerita bertajuk Eun-Gyo di bawah nama sendiri. Pelangi melengkung di mata Seo Ji-Woo, demikian minat Eun-Gyo, gadis 17 tahun terbias kepadanya. Cerita itu menyuntik perhatian pengkritik fiksyen dan memenangkannya untuk menerima hadiah sastera. Kebahagiaan estetik penulis tidak bermoral itu sementara. Kereta milik mentor yang dipandunya terjerumus ke jurang dalam kemalangan maut. Namun hukuman karma itu hanyalah sedutan daripada kisah dari filem Eun-Gyo arahan Ji-Woo Jung, dari Korea Selatan.

Majalah Dewan Sastera suatu ketika dahulu pernah beberapa kali memfokuskan perkembangan sastera Sarawak. Sejak kebelakangan ini, jika ada pun penulisan  menyorot perkembangan kesusasteraan Sarawak, ia sekadar laporan artifisial untuk diselipkan dalam akhbar-akhbar. Aktiviti sastera dan bahasa aktif diadakan melalui majlis-majlis formal seperti penyampaian hadiah, forum, seminar pemikiran tokoh, perkampungan penulis atau melalui siri pembentangan kertas kerja. Malahan majlis memperkatakan karya-karya penyair penting mutakhir Sarawak, Abizai, di sekolah menengah. Ini tindakan proaktif untuk memperkenalkan kesusasteraan dan penulisnya sendiri. Di samping meminimumkan kos perbelanjaan, pelajar-pelajar berkesempatan bersemuka dengan penulis secara santai.

Barisan penulis Sarawak seperti Awangku Merali Pangeran Mohamed, Saie Driss, Jong Chian Lai, Zainal Abidin Suhaili (Abizai), Jaya Ramba, Rosani Hiplee dan beberapa nama lain turut sama dengan sahabat-sahabat di Semenanjung memperkayakan khazanah persuratan kebangsaan. Mereka berkarya secara serius dalam genre seperti novel, cerpen, drama dan sajak sejak era mesin taip lagi. Malahan karya kreatif mereka diperakui apabila meraih anugerah berprestij kebangsaan dari dahulu sehingga kini, misalnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan atau pengiktirafan pada peringkat negeri. Sungguh malang sebahagian penulis Sarawak menghentikan penerokaan bakat mereka terlalu awal. Bahkan sudah tidak berupaya untuk mengadaptasikan diri dengan perkembangan gaya naratif masa kini. Sebaliknya semakin statik dengan ekspresi tahun 60-an.

Saya sering berasa gelisah mengenangkan pembentang-pembentang kertas kerja yang masih dilapisi nostalgia silam. Apakah erti menyebut nama-nama penulis yang tidak lagi menyumbangkan fikiran, idea, imaginasi dan wawasannya dalam media massa semasa? Mereka dihormati kerana senioriti dan pengalaman sebagai perintis kerja penulisan. Namun sumbangan sasterawan ditagih lebih daripada itu. Dan paling mengerikan ialah andai penulis-penulis sedia ada lebih memfokuskan kepada kejayaan peribadi dengan hadiah-hadiah penulisan. Karakter ini mengecewakan. Ego mengembangkan dengan sikap parokial. Besarlah pengharapan agar penulis-penulis mapan tidak dikendurkan oleh bakat dan darjah renungan. Namun siapakah pula yang membicarakan perkembangan sastera kontemporari generasi baharu Sarawak? Apakah bakat dan kehadiran mereka dicemburui?

Saya meletakkan harapan intelektual yang tinggi kepada generasi baharu Sarawak. Gelombang suara, idea, pemikiran dan naratif mereka seharusnya lebih canggih, kompleks dan mengatasi kehebatan karya-karya penulis terdahulu. Dengan hidup di bawah cengkaman rejim digital dan ilmu percuma di skrin komputer, landskap sastera sepatutnya lebih bertenaga dan cemerlang di tangan mereka. “Waktu muda ialah tingkap untuk masa depan,” kata SN Muhammad Haji Salleh. Lebih mustahak daripada itu ialah mentaliti mereka melepasi sasaran materialisme penulis sedia ada. Jika hadiah, gelaran, populariti membingkai dalam fikiran mereka, tiadalah bezanya dengan sikap segelintir pengarang ternama yang begitu taasub dengan kejayaan personal. Tiada jalan tikus untuk segera menghasilkan karya mantap dan luar biasa.

Lokman Hakim, Karl Agan, Frankie Latit dan Mohammad Zakri Zakaria adalah beberapa contoh nama penulis generasi baharu yang menyegarkan naratif fiksyen dan sajak pada peringkat nasional. Karya-karya mereka merombak orbit sastera yang tidak pernah dilakukan oleh penulis-penulis Sarawak sebelumnya. Mereka bereksperimen melawan realiti, memerdukan diksi dengan suasana urban dan menyuntik jarum perubatan dengan istilah-istilah perubatan dari makmal operasi. Inilah anjakan impresif untuk menawar kepelbagaian bidang sastera yang dilihat semakin monotonous dalam kalangan penulis sedia ada. Saya juga mengenali nama-nama baharu yang berkarya dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera untuk siaran akhbar Utusan Sarawak. Bahkan penulis-penulis muda Sarawak turut menyumbangkan bakat kreatif mereka dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Tunas Cipta atau di akhbar-akhbar kebangsaan selain menebitkan dalam zine. Syabas.

Menoleh ke seluruh dunia demi mempertingkatkan skil dan keluasan imaginasi sesuatu tuntutan kepada penulis. Ia pelaburan artistik berharga berbanding ganjaran di podium. Muhammad Asad dalam buku Islam at the Crossroads, mengatakan “ilmu pengetahuan bukanlah kepunyaan Barat atau Timur. Ia bersifat universal.” Saya sungguh kagum dengan beberapa penulis generasi baharu yang menelaah buku-buku penulis besar luar negara tanpa melupakan karya-karya tempatan. Contohnya, Frankie Latit, yang berusaha menyingkap jendela sastera seluas mungkin. Bakat dan kerja keras seiringan. “The artist is nothing without the gift, but the gift is nothing with out work,” kata Emile Zola. Namun apa yang mustahak, mentaliti. Karakter penulis-penulis baharu Sarawak perlu lebih kosmopolitan dan positif ke hadapan. Berakar di bumi namun berpandangan universal dan tidak dibius tropi serta sijil anugerah sebagai aksesori kebanggaan. Suatu hari nanti saya berharap mereka antara creme of the creme dalam ranah sastera Malaysia.

 

 


Pengarang :