NASIONAL

Jangan cabut ‘akar’ perpaduan – Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 NOV: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan rasa kesal terhadap serangan ke atas seorang anggota bomba dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, pagi semalam.

Menerusi ciapan di twitter, beliau berkata, rusuhan itu berunsurkan jenayah semata-mata.

“Perpaduan adalah akar yang menunjukkan kehebatan Malaysia, oleh itu jangan sesekali kita cabut.

“Mari kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT supaya anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim segera sembuh,” tulisnya.

Sementara itu, Muhammad Adib yang cedera dipukul dalam rusuhan di kuil terbabit kini dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), pada jam 11.33 malam tadi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, keputusan pemindahan itu dibuat susulan perbincangan antara pihaknya dengan IJN supaya mangsa diberi rawatan sewajarnya.

Difahamkan, mangsa mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan dalaman akibat dipukul dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 1 pagi itu.

Muhammad Adib, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS, ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mangsa sebelum itu datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.


Pengarang :