Selangorkini
NASIONAL

Jangan jadi ‘si kitul’ moden & pengadu domba

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Semua pihak perlu berhenti melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri berjalan lancar tanpa gangguan.

Mantan Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab mengadu domba dan ‘mencucuk’ kedua-dua pemimpin perlu berakhir kerana persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya rayu kepada semua, cukup-cukuplah, jangan kita mengadu-domba, cucuk-mencucuk dan melaga-laga Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

“Kita sudah bersetuju Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan. Oleh itu jangan jadi ‘si kitul’ yang jadi pengkhianat.

“Melaka tewas kepada Portugis dulu kerana ada ‘si kitul’ yang jadi pengkhianat dalam kerajaan Melaka. Jangan ada si kitul moden dalam KEADILAN yang melaga-lagakan dua pemimpin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, beliau juga mahu ahli parti memberi sokongan penuh kepada gandingan antara Anwar sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden bagi memacu agenda reformasi parti dan kerajaan.

“Jangan pertikai gandingan Anwar dan Mohamed Azmin, hubungan baik mereka sudah 30 tahun. Jangan ada perbuatan cucuk dan adu domba,” katanya.


Pengarang :