BERITA UTAMASELANGOR

Jangan jadikan Selangor pusat sebar fahaman liberal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap segelintir pemimpin beragama Islam yang menyokong tuntutan golongan liberal sedangkan ia jelas bertentangan dengan Islam.

Baginda bertitah, pemikiran itu akan menjadi salah satu jalan memudahkan musuh menghancurkan Islam, di negara ini dan Allah SWT menurunkan malapetaka buat semua jika ia tidak dibendung secara serius.

Baginda turut bertitah tidak mahu Selangor menjadi pusat penyebaran ideologi dan fahaman sesat.

“Beta mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memantapkan penguat kuasaan terhadap semua pihak yang didapati cuba menyebarkan sebarang bentuk fahaman bertentangan dengan Islam atau difatwakan sesat atau menyeleweng.

“Program kesedaran terhadap ancaman akidah umat Islam dan program pengukuhan akidah juga perlu dipertingkatkan bermula dari peringkat sekolah, masjid dan surau seluruh Selangor,” titahnya.

Beliau bertitah demikian pada Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme dan Pelancaran Buku Warta Kerajaan: Fatwa Ajaran Sesat, Fatwa Syariah dan Sosial, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz.

Baginda bertitah, JAIS perlu memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutama berkaitan akidah mempunyai tauliah dikeluarkan Jawatankuasa Tauliah Majlis Agam Islam Selangor (MAIS).

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin juga mahu JAIS dan MAIS memperkasakan silibus penyelidikan sekolah, di bawah MAIS sebagai pendedahan awal kepada anak berkenaan ancaman ajaran sesat.

“Beta menyeru umat Islam mendapatkan maklumat terkini berkaitan ideologi bertentangan Islam dan difatwakan haram oleh Jabatan Fatwa Selangor.

“Beta turut menyeru semua umat Islam membantu JAIS dengan membuat aduan berkaitan sebarang aktiviti penyebaran fahaman salah seumpama ini,” titahnya.

 


Pengarang :