SELANGOR

Jangan sentuh soal keistimewaan dalam Perlembagaan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah akan terus bersuara dan tidak akan bertolak ansur terhadap cubaan golongan tertentu yang ingin menghakis kuasa serta keistimewaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah, peranan Raja Melayu dalam memayungi kesucian Islam sebagai agama Persekutuan, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera tanpa mengenepikan hak kaum lain akan terus bertapak di negara ini serta dipertahankan.

“Tindakan golongan tidak bertanggungjawab ini dalam mempersoalkan isu yang menjadi teras dan paksi Perlembagaan Persekutuan perlu ditangani serta dibenteras segera.

“Golongan ini tidak boleh dibiarkan dari terus menghasut rakyat membangkitkan dan mempersoalkan ‘sosial kontrak’ yang dipersetujui kaum majoriti, di negara ini sebelum mencapai kemerdekaan.

“Perjanjian yang dipersetujui ini juga diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan yang digunapakai sehingga hari ini,” katanya.

Baginda bertitah demikian pada Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah 2018 Seminar Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme dan Pelancaran Buku Warta Kerajaan: Fatwa Ajaran Sesat, Fatwa Syariah dan Sosial, di Dewan Jubli Perak.

Penegasan dibuat Sultan Selangor itu dilihat merujuk kepada isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang hangat diperkatakan pelbagai pihak ketika ini.


Pengarang :