SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor – Batang Kali, Hulu Selangor lokasi kedua

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Jelajah 360° Smart Selangor akan menjengah penduduk di Batang Kali, Hulu Selangor selepas penganjuran pertamanya di Pantai Remis, Kuala Selangor berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung.

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berkata, program anjuran MBI di Oasis Street Mall, Batang Kali itu akan menyajikan pelbagai aktiviti bermula dari 17 hingga 18 November ini.

“Ia termasuk Sesi ‘Meet and Greet’ bersama pemain Bola Sepak Selangor (FAS), dan tidak ketinggalan jualan jersi murah original Selangor.

“Bagi memeriahkan acara, kita turut adakan konsert secara percuma buat pengunjung dengan menampilkan penyanyi terkenal, Tomok, Black Hanifah, Bandi Amuk dan kumpulan acapella yang baru meningkat naik, Bahiyyah Aneesa,” katanya kepada SelangorKini.

Jelajah 360° Smart Selangor bertujuan mendokong aspirasi Kerajaan Negeri menjadi sebuah negeri pintar (Smart State) menerusi Smart Selangor.

Program ini turut membabitkan Universiti Selangor (UNISEL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), SelangorKini, Tv Selangor, KDEB Waste Management, Yayasan Hijrah Selangor, dan FA Selangor.

Syazwan berkata, jelajah kali ini turut disertai selebriti, Amira Othman untuk program Bicara ‘Alami Smart Selangor 2025.

Katanya, ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan pendekatan secara terus kepada rakyat Selangor sekali gus memperomosikan Smart Selangor.

“Banyak lagi tarikan lain termasuk trak VR Smart Selangor, Smart Selangor Mobile Library, bazaria, gerai makanan, pertandingan busker, sukaneka rakyat seperti pertandingan makan, memotong buah, dan macam-macam lagi.

“Oleh itu saya menyeru kepada penduduk sekitar Hulu Selangor termasuk seluruh kawasan lain untuk mengambil kesempatan kali ini untuk berkunjung ke jelajah berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Syazwan berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran melebihi 10,000 pengunjung sama seperti Jelajah 360° Smart Selangor di Pantai Remis pada Oktober lalu.

Selepas Hulu Selangor, jelajah akan bergerak ke Kuala Langat pada Disember akan datang, dan dijangkakan menjelajah kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjelang 2019.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook MBI.


Pengarang :