SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor siri kedua sasar lebih 10,000 pengunjung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 NOV: Jelajah 360° Smart Selangor yang bakal berlangsung selama dua hari mulai 17 hingga 18 November ini, di Oasis Street Mall Batang Kali, Hulu Selangor, di sini, dijangka menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung.

Program berkonsepkan karnival yang memasuki siri kedua itu dianjurkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) termasuk Kerajaan Negeri Selangor (SUK) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, ia bertujuan memberi pendekatan secara terus khususnya dalam mempromosi Smart Selangor dan menyampaikan intipati agenda Kerajaan Negeri terhadap rakyat, di Selangor.

Katanya, pihaknya menampilkan tema sama seperti penganjuran siri pertama di Pantai Remis baru-baru ini, tetapi daripada segi pengisian program yang disusun adalah berbeza.

“MBI menyediakan trak ‘Smart Selangor Virtual Reality Simulator’ yang memberikan gambaran kepada rakyat mengenai masa depan Smart Selangor dan wawasannya untuk menjadi Negeri Pintar utama di Asean menjelang 2025.

“Aktiviti lain misalnya pameran agensi kerajaan, Smart Selangor Mobile Library, cabutan bertuah, konsert dan persembahan artis tempatan, forum dan temu bual daripada artis serta pakar, aktiviti keluarga dan kanak-kanak, selain jualan barangan, trak makanan, juga aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Hasril turut merakamkan ucapan terima kasih kepada MBI kerana memberi peluang dan kepercayaan penuh untuk menjadi rakan sinergi dalam membantu melaksanakan program terbabit.

“Kita berharap program ini terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan adanya capaian maklumat (iklan) menerusi dalam talian,” katanya.


Pengarang :