SELANGOR

Jelajah 360° Smart Selangor – Tampil ‘Acapella’ wanita pertama di Malaysia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 16 NOV: Pertama kali, kumpulan penyanyi ‘Acapella’ wanita pertama di Malaysia dibawa menyertai konsert sempena Jelajah 360° Smart Selangor, di Batang Kali, Ahad ini.

Ahli kumpulannya, Nur Fatin Nasuha Azmi, 21 berkata, ia adalah kali pertama Bahiyya Haneesa tampil di pentas membuat persembahan untuk orang awam.

“Biasanya kami hanya membuat sesi persembahan di kampus-kampus universiti sahaja memandangkan ahli-ahli Bahiyya Haneesa sendiri terdiri daripada penuntut Universiti Malaya.

“Jadi saya ingin menyeru kepada peminat Bahiyya Haneesa mahupun penggemar muzik acapella bolehlah turun beramai-ramai ke Oasis Batang Kali untuk menyaksikan persembahan live dari kami,” katanya kepada SelangorKini.

Bahiyya Haneesa yang terdiri daripada 10 anggota berusia dari 21 hingga 23 tahun itu mula meningkat naik selepas nyanyian semula lagu Jampi, Hael Husaini menjadi tular di media sosial.

Mendapat jolokan Kumpulan ‘Pitch Perfect Malaysia’, Bahiyya Haneesa juga mampu membawa pelbagai jenis rentak muzik tanpa menggunakan sebarang instrumen muzik.

Nur Fatin berkata, kumpulannya sudahpun mengeluarkan lagu terbaru bertajuk Material dan kini boleh didengari melalui instagram, youtube dan juga twitter.

“Sepanjang konsert itu nanti, kami juga akan menyanyikan lagu popular dari Faizal Tahir iaitu Ragaman.

“Kepada peminat di luar sana, jangan lepaskan peluang kali ini, datanglah beramai-ramai ke Batang Kali sempena Jelajah 360° Smart Selangor,” katanya.

Selain Bahiyya Haneesa, Bandi Amuk, Tomok dan Black Hanifah juga tampil membuat persembahan pada Konsert Alami #SmartSelangor bermula jam 8 malam, bermula Ahad ini.

 


Pengarang :