SELANGOR

Jelajah Maju Bersama daerah Sabak Bernam ‘prestij’ & ‘istimewa’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SABAK BERNAM, 5 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam mengalukan kunjungan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari termasuk barisan kepimpinan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sempena Jelajah Maju Bersama yang dijadual berlangsung, pada 9 November ini.

Pegawai Daerahnya, Nasir Mamat berkata, pihaknya sudah bermesyuarat dan membuat perbincangan terperinci dengan menyelaras setiap tindakan bagi memastikan agenda program berjalan sempurna.

Katanya, ia disifatkan sebagai satu kunjungan berprestij dan istimewa bagi daerah berkenaan.

“Kita memanggil semua jabatan di daerah ini supaya turut serta menjayakan setiap program diatur bersama Dato’ Menteri Besar dan EXCO terbabit.

“Banyak program sudah dirancang dalam tempoh singkat ini dan ia sekali gus memberi peluang kepada penjawat awam daerah Sabak Bernam untuk berinteraksi bersama pimpinan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, lawatan turun padang itu adalah saat paling dinantikan setiap lapisan masyarakat, di daerah terbabit.

“Ini kesempatan yang baik untuk masyarakat setempat berjumpa, mengadu hal atau masalah dan memberi cadangan yang boleh memberi manfaat, pada masa akan datang.

“Kita mahu membawa misi Kerajaan Negeri bahawa setiap masalah yang timbul dalam kalangan penduduk dapat diselesaikan,” katanya.

Difahamkan, Amirudin akan menghadiri perhimpunan pagi bersama kira-kira 450 penjawat awam daerah Sabak Bernam, di Dewan Seri Bernam sebelum mempengerusikan Mesyuarat EXCO, pada sebelah pagi.

Selepas itu, beliau dijangka menunaikan Solat Jumaat di Masjid Padu Permai sebelum menyantuni masyarakat, pada Jamuan Rakyat dan seterusnya mengadakan lawatan di beberapa kawasan sekitar daerah Sabak Bernam.


Pengarang :