SELANGOR

JKM bakal buat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor akan membuat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh di sekitar negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya, Hanafi Maulud berkata, ia bagi membantu pengasuh yang masih belum menerima sebarang kursus intensif penjagaan kanak-kanak dan bayi untuk berbuat sedemikian.

“Oleh sebab itu, JKM meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya terdapat pengasuh di kawasan penempatan masing-masing bagi membolehkan JKM berhubung dengan mereka.

“Ini kerana pihak kami mahu golongan ini mendapat pengetahuan cara mengasuh kanak-kanak dan bayi yang betul sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, maka ibu-bapa yang bekerja tidak perlu risau,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak anjuran Rantai Mesra Sdn Bhd (RMSB) di Hotel KIP, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei dan Ketua Unit Rantaian Mesra Sdn Bhd, Arba’ain Abdul Rahman.

Kursus tiga hari itu turut disertai hampir 30 pengasuh kanak-kanak dan bayi serata Selangor.

Arba’in berkata, selain membantu golongan suri rumah menjana pendapatan, program ini juga mampu menyediakan lebih banyak pusat asuhan di rumah sekali gus memberi kemudahan untuk ibu bapa bekerja meninggalkan anak masing-masing di pusat asuhan terlatih, teratur dan selamat.

“Sejak 2013 Kerajaan Selangor membelanjakan kira-kira RM720,000 kerana komited untuk melatih pengasuh yang menjaga kanak-kanak dan bayi di rumah ini.

“Kerajaan Selangor juga mahu pengasuh-pengasuh ini menjadi individu lebih berketerampilan walaupun menjaga kanak-kanak dan bayi dari rumah sahaja,” katanya.


Pengarang :