SELANGOR

JMB/MC perlu ambil insurans elak kejadian luar jangka

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 18 NOV: Badan Pengurusan Bersama (JMB/MC) pangsapuri disarankan supaya mengambil skim perlindungan insuran bagi menghadapi kejadian luar jangka akibat bencana.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan sesuai pada kadar munasabah.

“Saya ingin tekankan supaya JMB/MC mengambil insurans kerana apabila berlaku bencana alam, kemalangan dan vandalisme, mereka sudah ada perlindungan kecemasan luar jangka.

“Kerajaan Negeri sudah mengambil inisiatif bagi membolehkan pengambilan insuran oleh JMB/MC secara berpusat.

“Ini bertujuan supaya insuran diambil semua JMB/MC seragam, nilai kompetitif dan mendapat perlindungan komprehensif supaya tidak berdepan masalah kewangan jika berhadapan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Perdana JMB/MC Pangsapuri Negeri Selangor Tahun 2018 di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Nazmi Osman.

Menurutnya, bentuk caruman insurans itu masih dikaji tetapi beliau mencadangkan supaya ia dimasukkan dalam bayaran penyelenggaraan pada kadar munasabah buat penduduk.

Selangor mempunyai lebih 1,300 pangsapuri kos rendah dan Kerajaan Negeri sudah memperuntukkan RM145.3 juta untuk membaik pulih kemudahan fizikal seperti lif, bumbung, tangki atau paip air serta mengecat semula bangunan.

Dalam majlis sama, Haniza turut kagum melihat kesungguhan beberapa JMB/MC yang berjaya mewujudkan beberapa siri inovasi bagi meningkatkan pendapatan serta menjimatkan kos penyelenggaraan.

 


Pengarang :