BERITA UTAMASELANGOR

Jom Baca DUN Permatang berjaya kumpul 100 pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 NOV : Program Jom Baca anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang berjaya menarik penyertaan 100 kanak-kanak berusia enam tahun.

Program berlangsung selama 20 hari sejak 29 Oktober itu juga menerima sambutan amat menggalakkan daripada penduduk sekitar DUN terbabit.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu memfokuskan kepada pembelajaran Bahasa Malaysia memandangkan ia adalah bahasa Kebangsaan.

“Program ini bermula dengan saringan pelajar dimana mereka akan diuji terlebih dahulu mengikut tahap kebolehan mengenal suku kata dan seterusnya membaca.

“Mereka yang lulus dalam saringan akan dimasukkan dalam kelas yang diadakan selama 20 hari dan mempelajari modul disediakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) I-Sina,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan selaras untuk menjadikan DUN Permatang sebagai Zon Peduli Ilmu.

“Program ini akan dilaksanakan berterusan bagi memastikan penduduk terutama di DUN Permatang dapat membaca sebaiknya sebagaimana dituntut dalam Islam iaitu, Iqra’,” katanya.

Terdahulu, Program Jom Baca DUN Permatang anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang itu membabitkan dua sesi iaitu bermula jam 3-5 petang dan 8-10 malam, pada hari bekerja.

Tenaga pengajar terdiri daripada NGO bertauliah dan pengalaman Jom Baca I-Sina dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Bagan Sungai Yu dan Pasir Penambang serta Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor.

Difahamkan, perasmian penutupan dijadual berlangsung pada 25 November ini bertujuan meraikan pelajar berkenaan.


Pengarang :