SELANGOR

Jom meriahkan Karnival Kerjaya OKU 25 November

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 NOV: Karnival Kerjaya Orang Kelainan Upaya (OKU) bakal diadakan pada 25 November ini bermula jam 10 pagi hingga 7 malam di Atrium SACC Mall, di sini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival itu bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada OKU.

“Kerajaan Negeri memandang serius Pelan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2016-2020 yang mempunyai sembilan teras iaitu salah satu strategi untuk mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat bagi kesaksamaan hak dan peluang.

“Sekali gus karnival ini diadakan untuk mendidik kesedaran masyarakat berkenaan hak OKU untuk bekerja selain menggalakkan serta meningkatkan penyertaan majikan memberi peluang pekerjaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, katanya, kehadiran pengunjung ke karnival itu dijangka seramai 3,000 peserta iaitu dua kali ganda peningkatan berbanding tahun lalu.

“Ia terdiri daripada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti seluruh Selangor, Penghuni Insititut OKU, Penerima Bantuan OKU, bekas Pelajar Sekolah Pendidikan Khas, Persatuan OKU dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan serta orang awam.

“Manakala, sebanyak 12 syarikat swasta mengambil bahagian untuk membuka peluang pekerjaan kepada OKU,” katanya.

Katanya, karnival itu mendapat kerjasama baik daripada Jabatan Tenaga Kerja Malaysia, JKM Selangor, Jabatan Pendidikan Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam dan SACC Mall Shah Alam.

Sementara itu, Dr Mariah berkata, seramai 83 orang berjaya ditawarkan pekerjaan daripada 458 manakala seramai 655 orang mendapat panggilan temuduga buat kali kedua, tahun lalu.

Menariknya, karnival kali ini akan disediakan Anugerah Khas kepada majikan yang mencapai satu peratus jumlah pekerja OKU bagi syarikat mereka.

Selain itu, turut diundang Majlis Tindakan OKU Selangor dan Ikon OKU yang berjaya untuk mereka berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan.

Kehadiran artis OKU terkenal Caliph Buskers turut menyerikan karnival itu dengan persembahan mereka.

Justeru, Kerajaan Negeri optimis karnival itu terus dimanfaatkan oleh semua pihak dalam membantu dan memenuhi keperluan golongan OKU yang menjadi keutamaan serta perhatian Kerajaan Negeri.


Pengarang :