NASIONAL

JPP tahu siapa tipu pemilihan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 NOV: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengenal pasti pihak yang melakukan penipuan, provokasi dan memanipulasi data serta pengundi, pada Pemilihan KEADILAN 2018.

Setiausahanya, Ismail Yusof berkata, JPP turut memiliki dokumen yang boleh dijadikan bukti berhubung dakwaannya itu.

“Tetapi kami tidak mahu mendedahkannya demi menjaga aib sesama insan apatah lagi pemilihan ini sering diungkapkan sebagai hanya membabitkan kita smua yang mengaku anggota satu keluarga besar KEADILAN.

“Sudah banyak percubaan menipu dalam kalangan calon yang kita patahkan dan apabila mereka gagal, JPP serta sistem dipertikai supaya timbul keraguan awam,” katanya pada status akaun media sosial facebooknya.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Abah dalam kalangan anggota KEADILAN turut melahirkan kekecewaannya apabila terdapat pihak yang memperlekehkan anggota JPP melalui lukisan kartun yang ditularkan di media sosial.

Katanya, lebih buruk lagi apabila salah seorang anggota JPP, Alvin Teoh bukan sahaja digari dan ditahan polis akibat tuduhan melulu sesetengah pihak, malah turut diaibkan sedangkan beliau hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sesungguhnya Dato’ Rashid Din (Pengerusi JPP), Dr Adzman Hendra (Timbalan Pengerusi JPP) dan Tok Abah, belum pernah walaupun sekali mengubah waimah satu angka apatah lagi membuat manipulasi keputusan undi, kami tiada akses pada data.

“Ini kerana had JPP hanya pada Borang 13 dan melihat keputusan, itupun selepas tamat masa undian.

“Sepanjang masa undian sedang berjalan, akses pada laman sesawang keputusan pemilihan ditutup pembangun perisian, justeru sahaja angka keputusan yang kami terima daripada pembangun sistem, itulah yang kami siarkan,” katanya.


Pengarang :