GLOBAL

Juruterbang Boeing 737 MAX perlu lebih latihan

JAKARTA 14 NOV: Pasukan penyiasat Indonesia berkata kelmarin bahawa juruterbang Boeing 737 MAX perlu menjalani lebih banyak latihan selepas mendapati situasi menimpa kru pesawat Lion Air yang terhempas, tidak terkandung dalam buku panduan aviasi kapal terbang tersebut.

Juruterbang-juruterbang Amerika Syarikat (AS) juga tidak menyedari kewujudan risiko itu, kata kesatuan juruterbang AS kepada agensi berita Reuters.

Kenyataan tersebut mendedahkan lebih lanjut tentang aspek tumpuan siasatan ketika pasukan penyiasat bersiap-sedia mengumumkan laporan awal mereka pada 28 atau 29 November ini, sebulan selepas Boeing 737 MAX milik Lion Air itu menjunam ke Laut Jawa, mengakibatkan semua 189 penumpang dan kru terbunuh.

Sehingga kini, fokus dan kritikan umum tertumpu kepada masalah penyelenggaraan termasuk kerosakan sensor pengumpulan data bagi membantu pesawat terbang pada sudut tepat ketika menempuh arus udara bagi mengelakkan ia pegun. Masalah itu berlaku kerana faktor aerodinamik dan bukan merujuk kepada enjin pesawat mati.

Situasi tersebut mengakibatkan pesawat hilang daya angkatan, sekali gus sukar dikawal.

Seorang juruterbang pesawat 737 dan jurucakap Kesatuan Juruterbang Bersekutu (APA), Dennis Tajer berkata, kesatuan sekerjanya dimaklumkan mengenai sistem baharu itu yang dipasang oleh syarikat ­Boeing pada jet 737 MAX selepas nahas tersebut.

Sistem itu, katanya, boleh mengarahkan muncung pesawat supaya menjunam tanpa juruterbang menyedari ia adalah pembetulan automatik dalam sesetengah situasi bagi mengelakkan pesawat pegun.

“Maklumat ini tidak diberitahu semasa latihan kami, ia juga tidak terkandung dalam buku panduan pesawat Boeing 737,” katanya.

Seorang jurucakap pentadbiran Amerika Syarikat berkata, Boeing dijangka memperkenalkan kemas kini perisian bagi mengurangkan risiko sistem perlindungan pegun 737 MAX itu kepada juruterbang tetapi tidak menyatakan tarikhnya.

Sementara itu, Ketua Komite Nasional Keselamatan Penerbangan Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjojo berkata kelmarin bahawa pihak berkuasa Indonesia akan mengetatkan keperluan latihan susulan hasil siasatan nahas penerbangan JT610 tersebut.

“Kami tahu, kerana kemalangan ini berlaku. Kami tahu, kami memerlukan latihan tambahan,” katanya.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :