SELANGOR

Kaji mekanisme persempadanan selenggara longkang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri sedang mengkaji mekanisme persempadanan penyelenggaraan longkang antara agensi Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan Saliran dan Jabatan Kerja Raya.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, hal itu kerana pihaknya banyak menerima aduan keadaan longkang yang tidak diselenggara.

“Saya terima banyak aduan yang longkang tidak diselenggara kerana tiada pihak mengaku penyelenggara longkang berkenaan.

“Perkara itu sudah dibincangkan beberapa kali untuk mengenal pasti langkah yang perlu diambil,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad, pada sidang Dewan Negeri, hari ini.

Katanya, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Jajaran Sungai Buloh membabitkan kerja kajian dan cadangan kemudahan rumah pam, mendalam serta melebar Sungai Buloh selain menaik taraf benteng ban juga tebing sungai sama.

Katanya, bagi perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri akan menaik taraf Pintu Kawalan Pasang Surut Sungai Buloh yang sedang dibina di Kampung Ijok dan dijangka siap, pada 18 Julai tahun depan dengan kos RM1.9 juta.

Pada masa sama, katanya, kejadian banjir bukan hanya disebabkan isu penyelenggaraan semata-mata, sebaliknya turut disumbangkan taburan hujan luar biasa.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri ambil tiga langkah penyelenggaraan di sungai dan parit, kolam takungan (sedang diselesaikan) dan senarai hotspot banjir yang akan diberi keutamaan penyelesaian.

“Kos untuk perancangan tebatan banjir ini tinggi dan mengambil masa untuk dilaksanakan. Pelan jangka masa panjang pula perlu membabitkan kawasan menyeluruh,” katanya.


Pengarang :