BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Karnival Pendidikan #SmartSelangor terus jadi tumpuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Karnival Pendidikan #SmartSelangor 2018 terus berkembang pesat dan mendapat tumpuan awam dengan penyertaan lebih besar daripada agensi serta pusat pengajian tinggi khususnya di peringkat Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penyertaan agensi dan pusat pengajian tinggi berkaitan menambah nilai terhadap karnival kali ini.

“Sebelumnya ia tertumpu kepada penyertaan agensi, universiti dan institut pengajian di bawah Kerajaan Negeri tetapi karnival tahun ketiga ini menyaksikan pembabitan agensi di peringkat Persekutuan.

“Diharap penyertaan mereka berterusan bagi membantu supaya Karnival ini menjadi pusat sehenti untuk mendapat maklumat berhubung peluang pendidikan dari peringkat rendah hingga tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Karnival Pendidikan #SmartSelangor 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Berhubung karnival itu, Amirudin berkata, penganjuran kali ini diberi penambahbaikan dengan mengetengahkan kesedaran berkenaan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), aktiviti berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STAM) bermula pada peringkat pra sekolah hingga universiti.

Katanya, ia juga dijalankan secara bersepadu dengan gabungan elemen pembangunan modal insan secara bersama.

“Selain itu, seminar kerjaya turut dilaksanakan untuk memberi panduan berkesan kepada pelajar dan mahasiswa yang akan memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Mastura Muhamad.


Pengarang :