SELANGOR

KDEBWM bakal urus sisa pepejal MPSJ dan MDKS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) bakal menambah dua lagi lokasi pengurusan sisa pepejal di Selangor selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya sedang menanti surat tawaran bagi memulakan tugas pada 1 Januari 2019 sekaligus menyaksikan mereka bakal menyelia 11 PBT.

“Sehingga 8 November kita sudah mengambil alih sembilan PBT dan menambah dua lagi kawasan pada tahun hadapan.

“Kita akan dapat surat tawaran dalam masa terdekat dan akan memulakan tugasan, pada 1 Januari 2019,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menurutnya, KDEBWM akan mengemukakan tawaran mengambilalih pengurusan sisa pepejal Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun hadapan selepas kontrak pengendali sedia ada tamat.

Mengulas mengenai peningkatan operasi KDEBWM Ramli menjelaskan, pihaknya berhasrat menambah jumlah kakitangan serta menempatkan pegawai penyelia di pejabat cawangan operasi di seluruh PBT.

Dianggarkan kos pelaburan operasi bagi 11 PBT tahun hadapan hampir RM180 juta dengan pembelian kompaktor dan lori ‘Roll On Roll Off’ (RORO) baharu bagi memastikan gerak kerja lancar.

“Menerusi pengalaman sembilan PBT ini, kita akan menumpukan usaha memahirkan lokasi kutipan sisa pepejal dengan masuk ke kawasan seminggu lebih awal. Kita juga membuat persediaan supaya tidak berlaku sebarang masalah pada hari pertama operasi.

“Kita faham penghujung tahun ada cuti panjang dan KDEBWM merancang meletakkan lebih kapasiti kerja supaya ia dapat diselesaikan mengikut perancangan,” katanya.


Pengarang :