SELANGOR

KDEBWM giat bersihkan kawasan terjejas banjir kilat

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 12 NOV: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) komited membersihkan beberapa kawasan di Ampang Jaya yang terjejas ekoran kejadian banjir kilat yang berlaku semalam.

Ketua Penyelia Kawasan, Muhammad Buang berkata, KDEBWM cawangan Ampang Jaya cukup agresif mencari jalan penyelesaian untuk membersihkan sampah yang tersangkut.

“KDEBWM juga membuat pembersihan bagi aliran longkang yang tersangkut khususnya di kawasan perangkap sampah, scupper drain dan laluan longkang yg terganggu.

“Keadaan yang kritikal berpunca daripada longkang monsun serta main drain yang air naik melebihi dari paras kritikal dan sampah melimpah ke jalan-jalan raya sehingga terjejas laluan lalu lintas,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Muhammad berkata, KDEBWM juga akan terus menjalankan tanggungjawab serta berintegriti bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan dalam kadar segera.

Semalam, beberapa kawasan rendah di pinggir Ibu kota termasuk di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) dan beberapa kawasan di Ampang Jaya membabitkan Jalan 39, Kampung Cheras Baru, Jalan 24 Taman Kencana, Ampang campuran, Kampung Melayu Ampang dan Kampung Tasek Tambahan Sri Bayu dilanda banjir kilat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, hujan lebat sejak jam 3 petang itu menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air kira-kira setengah meter hingga satu meter.

Selain menyebabkan kesesakan lalu lintas, beberapa buah rumah turut dinaiki air antaranya di sekitar Kampung Melayu Ampang, Taman Kosas, Ampang Utama dan Taman Melur.

Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Mohamad Samat berkata, pihaknya dimaklumkan tiga rumah di Taman Melur dimasuki air lumpur.

“Kejadian banjir lumpur ini disebabkan hujan lebat, rumah ini berada di kawasan rendah dilimpahi air.

“Saya sudah memaklumkan kepada pihak berkaitan untuk mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini,” katanya.


Pengarang :