Ketua Whip KEADILAN Datuk Johari Abdul
NASIONAL

KEADILAN tunggu keputusan PAKATAN isu lompat parti

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 NOV: KEADILAN akan menunggu keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berhubung isu lompat parti, sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaannya.

Ketua Whipnya, Datuk Johari Abdul berkata, isu berkaitan mendapat perhatian kepimpinan PAKATAN dengan satu mesyuarat akan diadakan Sabtu ini bagi mencapai keputusan antara semua parti gabungan.

“Seperti kita tahu, Majlis Presiden PAKATAN akan bermesyuarat berkenaannya kemungkinan dalam minggu ini atau Sabtu dan akan keluarkan kenyataan berhubung keputusannya sama ada ia dilihat wajar atau sebaliknya.

“KEADILAN tidak akan mengeluarkan kenyataan atau mendahului kepimpinan PAKATAN dalam perkara ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, isu lompat parti itu juga baginya harus diteliti sebelum sesuatu rumusan dibuat.

“Ia bergantung kepada keadaan dan dari situ kita boleh memutuskannya,” katanya.

Isu lompat parti menjadi perhatian umum apabila mantan ahli Umno iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) baru-baru ini.

Ia diperkuatkan lagi dengan desas-desus terdapat kira-kira 40 Ahli Parlimen parti pembangkang itu akan mengambil tindakan sama dengan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai PPBM.


Pengarang :