GLOBAL

Kebakaran hutan: California tingkat usaha cari mayat, lebih 600 hilang

PARADISE 17 NOV: Pekerja penyelamat dengan bantuan anjing pengesan mayat meningkatkan pencarian lebih ramai mangsa dalam kebakaran di bandar raya utara California semalam ketika pihak berkuasa berusaha mendapatkan petunjuk kepada nasib lebih 600 lagi yang dilaporkan hilang dalam kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Mayat sekurang-kurangnya 63 mangsa ditemui setakat ini di dan sekitar kawasan sekitar kaki bukit Sierra di Paradise, yang menempatkan hampir 27,000 penduduk sebelum ia dimusnahkan kebakaran Camp Fire pada malam 8 November lalu.

Lebih seminggu kemudian, pasukan bomba berjaya mewujudkan garisan kepungan sekitar 45 peratus daripada perimeter kebakaran, meningkat daripada 35 peratus sehari sebelum itu, walaupun ketika tanah yang terbakar bertambah sedikit kepada 57,000 hektar.

Selain kehilangan nyawa yang mengejutkan, kerugian harta benda akibat kebakaran paling buruk dalam sejarah California, memberikan cabaran kepada penyediaan perlindungan jangka panjang untuk ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Dengan hampir 12,000 kediaman dan bangunan terbakar, ramai penduduk berlindung sementara dengan rakan dan keluarga, manakala yang lain mendirikan khemah atau berkhemah di luar kenderaan mereka.

Lebih 11,000 penduduk ditempatkan di 14 pusat perlindungan kecemasan yang didirikan di gereja, sekolah dan pusat komuniti sekitar wilayah itu, kata jurucakap Palang Merah Amerika, Greta Gustafson.

Sementara, pasukan mencari, mengharungi kawasan penempatan yang rentung untuk mencari mayat, atau apa saja yang membawa DNA manusia untuk tujuan pengecaman.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :