NASIONAL

Kementerian Kesihatan yakin laksana program penuhi keperluan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad optimis kementeriannya mampu melaksanakan program digariskan kerajaan bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Kita ambil ini sebagai satu cabaran dan akan melaksanakan amanah sebagaimana diinginkan.

“Seperti mana Kementerian Pendidikan, kita diberi kepercayan tinggi bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, semalam, selepas pembentangan Belanjawan 2019.

Kementerian Kesihatan adalah kementerian kedua tertinggi menerima peruntukan selepas Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM29 bilion.

Kementerian Kesihatan akan memberi fokus bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kepada orang ramai dengan peruntukan RM10.8 bilion dikhususkan untuk kemudahan itu dan berkaitan.

Selain itu, Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) juga akan dilaksanakan bagi kira-kira 800,000 individu berusia 50 tahun dan ke atas bagi kumpulan B40 dengan kos RM100 juta.

Dr Dzulkefly berkata, kementerian diyakini tidak akan menghadapi masalah bagi menjayakan program berkenaan.

“Tiada masalah, kita akan lakukan kerana kita mempunyai pegawai dan penolong pegawai persekitaran yang mencukupi untuk tujuan ini,” katanya.


Pengarang :