NASIONAL

Kementerian mahu jadikan MRTM produk pelancongan budaya

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 26 NOV: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) komited menjadikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) sebagai satu produk pelancongan budaya, di negara ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ia bagi menjadikan MRTM sebagai pemangkin kepada peningkatan kedatangan jumlah pelancong ke Malaysia.

“Penganjuran MRTM Deepavali 2018 ini sudah pasti membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni dan budaya serta industri pelancongan selain meningkatkan pendapatan pelbagai industri.

“Ia selaras dengan hasrat Malaysia mensasarkan kedatangan 30 juta pelancong asing, pada 2020 dengan pendapatan RM100 billion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MRTM 2018 Peringkat Kebangsaan anjuran MOTAC, di Perkarangan Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, sebanyak 17.3 juta pelancong melawat Malaysia, sejak Januari hingga Ogos 2018.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan 26.4 juta pelancong akan melawat Malaysia dengan anggaran pendapatan RM84.9 billion kepada negara,” katanya.

 


Pengarang :