Gambar Hiasan
NASIONALPENDIDIKAN

Kementerian Pendidikan lulus 4,525 permohonan pertukaran guru

PUTRAJAYA, 13 NOV: Kementerian Pendidikan meluluskan sebanyak 4,525 permohonan pertukaran guru bagi sesi Januari 2019, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

Menurutnya, jumlah itu adalah daripada 25,332 guru yang telah membuat permohonan pertukaran yang dibuka sekali setahun menggunakan sistem Module-GTukar dari 18 Februari hingga 25 Mac lepas.

“KPM (Kementerian Pendidikan) memproses kesemua permohonan dengan mengambil kira alasan dikemukakan oleh pemohon berdasarkan wajaran seperti yang ditetapkan dalam Module-GTukar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amin berkata keputusan terhadap kelulusan pertukaran tersebut dimuktamadkan oleh sebuah Jawatankuasa Pertukaran Guru di peringkat Kementerian Pendidikan.

Menurutnya, alasan tertinggi yang diberi kelulusan ialah kes mengikut pasangan iaitu seramai 1,756 orang (38.81 peratus).

 

Ini diikuti kes tempoh berkhidmat di sesebuah negeri iaitu seramai 1,030 orang (22.76 peratus), lain-lain alasan munasabah pula seramai 814 orang (17.99 peratus), kes permohonan bersama seramai 663 orang (14.65 peratus), kes sakit kronik seramai 222 orang (4.91 peratus) dan kes ancaman keselamatan seramai 40 orang (0.88 peratus), katanya.

Amin berkata proses kelulusan pertukaran seseorang guru adalah berdasarkan kepada tiga kriteria utama iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen di sesebuah sekolah di negeri yang dimohon.

“Perlu diperjelaskan juga bahawa dalam membuat pertimbangan terhadap pertukaran guru dan kebajikan mereka, KPM juga perlu memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kepentingan pembelajaran murid,” katanya.

Beliau berkata KPM berharap agar guru-guru yang belum berjaya dalam urusan pertukaran meneruskan perjuangan dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi mendidik anak bangsa.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :