BERITA UTAMAGLOBAL

Kempen perjuangan isu Palestin perlu diperhebat di peringkat global

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Perjuangan Palestin benar-benar memerlukan satu kempen besar-besaran masyarakat global bagi menamatkan penderitaan penduduk di wilayah yang bergolak sejak tujuh dekad lalu.

Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah berkata komuniti antarabangsa tidak sepatutnya mengecewakan rakyat Palestin, dan Malaysia senantiasa bersedia memainkan peranannya.

“Masyarakat antarabangsa perlu menerajui usaha dan memperkukuhkan sistem multilateral bagi mencari penyelesaian adil dan berkekalan dalam konflik Palestin-Israel ekoran kegagalan demi kegagalan rundingan dua hala sejak berdekad lalu.

“Kegagalan seumpama itu hanya mengakibatkan keadaan kembali kepada status quo di Wilayah Palestin yang Diduduki. Atas semangat ini Malaysia sentiasa tegas menyuarakan pendiriannya melalui pelbagai forum antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM),” katanya menerusi kenyataan kepada Bernama sempena Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Rakya Palestin 2018, Khamis.

Saifuddin menambah PBB harus campur tangan dengan lebih berkesan menerusi langkah menubuhkan misi PBB atau membenarkan kehadiran wakil antarabangsa bagi memantau keadaan, meredakan ketegangan dan mengekalkan ketenteraman serta keselamatan di wilayah bergolak itu.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya kerana 71 tahun selepas Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Resolusi 181 (II), kemudiannya dikenali Resolusi Pemisahan Kawasan, hanya satu pihak membentuk negara (Israel) daripada Ketetapan Penyelesaian Dua Negara, manakala Palestin terus berjuang menuntut keadilan, keamanan dan pengiktirafan sebagai sebuah negara berdaulat yang sah.

Resolusi itu, yang diluluskan pada 29 Nov 1947, memperuntukkan pembentukan sebuah Negara Yahudi dan Negara Arab di Palestin, dengan Baitulmaqdis menjadi “corpus separatum” (entiti berasingan) di bawah rejim khas antarabangsa.

Ujar Saifuddin, usaha antarabangsa mendapatkan penyelesaian adil untuk isu itu kebanyakannya tidak membuahkan ​​​​​​​hasil dan dunia berulang kali menyaksikan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh Israel.

“Negara yang kononnya digelar kuasa besar dunia dilihat seakan tidak berdaya atau tidak mahu menegur Israel atas kedegilan mereka,” katanya.

Sebagai Menteri Luar, Saifuddin berkata beliau akan terus mendokong pendirian Malaysia sejak berzaman dalam membantu rakyat Palestin, tidak terhad dalam aspek diplomatik, malah dalam menyediakan pelbagai bantuan termasuk kewangan, bantuan kemanusiaan serta pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata rakyat Malaysia teguh dan komited terhadap saudara kami di Palestin, bagi menamatkan pendudukan haram Israel di Bumi Palestin dan dasar luar Malaysia terhadap Palestin, tidak pernah berganjak sejak berdekad lalu.

Semasa membentangkan usul kerangka kerja dasar luar negara Malaysia Baharu di Parlimen pada 15 Okt lalu, menteri itu berkata, beliau bercakap dengan panjang lebar mengenai betapa Malaysia amat rapat dengan isu Palestin.

Beliau turut menegaskan ketika membentangkan usul berkenaan, anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang mengetepikan perbezaan politik untuk turut terbabit aktif menyuarakan sokongan.

“Ia membuktikan bahawa Kerajaan dan rakyat Malaysia kekal dan akan terus komited memperjuangkan sokongan ​​​​​​​dalam mengembalikan hak rakyat Palestin memerintah dan menubuhkan sebuah kerajaan merdeka,” katanya.

Saifuddin berkata kerajaan Malaysia sentiasa mengutamakan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan baik dalam ​​​​​​​bentuk wang tunai dan barangan keperluan menerusi tiga pendekatan – Kerajaan kepada Kerajaan, pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.

Malaysia juga kerap menyalurkan sumbangan kewangan melalui Agensi Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), yang ditubuhkan pada 1949 untuk membantu dan memberikan perlindungan kepada lima juta pelarian Palestin yang berdaftar.

Menurutnya ketika menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk tempoh 2015-2016, Malaysia konsisten mengetengahkan sokongannya terhadap kemerdekaan Palestin dan menyeru badan itu menunaikan ​​​​​​​tanggungjawabnya sejajar dengan Piagam PBB bagi menamatkan konflik berkenaan.

Malaysia, bersama New Zealand, Senegal, dan Venezuela pada tempoh itu, membentangkan deraf resolusi UNSC mengenai konflik Palestin-Israel.

Deraf resolusi itu antara lain menggesa Israel menghentikan tindakan mendirikan ​​​​​​​kediaman haram di wilayah yang diduduki serta mengambil langkah tegas terhadap rejim yang seakan mahu ​​​​​​​merampas seluruh kawasan Palestin sehingga menghakis penyelesaian pembentukan dua negara.

Saifuddin berkata Resolusi 2334 yang diluluskan pada 23 Disember 2016 selepas menerima 14 undi menyokong dengan Amerika Syarikat berkecuali, dianggap pencapaian penting dan bersejarah bagi rakyat Palestin sekaligus memberikan tamparan hebat kepada Israel.

Menurutnya kali terakhir UNSC meluluskan deraf ketetapan berhubung penempatan haram Israel di wilayah yang diduduki adalah pada 1980.

Usaha membentangkan ketetapan berhubung penempatan haram Israel di wilayah yang diduduki pada 2011, gagal ​​​​​​​akibat veto Amerika Syarikat.

Sempena Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Rakyat Palestin yang disambut pada Khamis, Saifuddin berkata ia menjadi satu peringatan penting kepada semua bahawa isu Palestin ini belum berakhir.

“Adalah menjadi harapan saya sambutan kali ini akan meningkatkan kesedaran awam berhubung semua persoalan mengenai Palestin selain meningkatkan lagi sokongan dan bantuan antarabangsa,” katanya.

Pada 1977, Perhimpunan Agung PBB menetapkan 29 Nov sebagai Hari Perpaduan Antarabangsa bersama Rakyat Palestin sebagai menandakan kejayaan Ketetapan 1947.

Menurut laman web PBB, acara sambutan akan diadakan di Ibu Pejabat PBB di New York bermula 28 hingga 30 November termasuk pameran foto bertemakan, ’70 tahun Deklarasi Hak Asasi Manusia – Nakba Palestin’.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :