NASIONAL

Kenaikan mendadak gaji minimum jejas pertumbuhan PKS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Langkah kerajaan menaikkan gaji minimum dari RM1,050 kepada RM1,100, berkuat kuasa tahun hadapan disifatkan sebagai langkah tepat.

Profesor Adjung Universiti Selangor, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kenaikan secara mendadak kepada RM1,500 akan menyebabkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (PKS) akan terbantut.

“Kita tidak boleh naikkan gaji minimum secara mendadak kerana ia akan memberi tekanan hebat kepada PKNS memandangkan ekonomi Malaysia masih banyak bergantung industri berkenaan.

“Tidak boleh tergesa-gesa. Dua kenaikan kepada RM1,100 dalam tempoh enam bulan sudah dikira cukup banyak,” katanya pada Dialog Belanjawan 2019 anjuran Institut Darul Ehsan (IDE), di Bangunan IDE, di sini, semalam.

Katanya, langkah menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 serta merta juga akan memberi implikasi peningkatan inflasi secara mendadak.

Katanya, keputusan Kerajaan itu selaras manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Manifesto PAKATAN menjanjikan kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 secara berperingkat adalah relevan,” katanya.


Pengarang :