SELANGOR

Kenal pasti & tonjol produk ‘aesthetic value’ kampung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan memulakan langkah mengenal pasti setiap kampung yang memiliki produk tempatan bercirikan nilai estetik untuk ditonjolkan kepada umum, pada tahun hadapan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaannya adalah sebahagian daripada usaha menggiat dan merancakkan program pemberdayaan, di setiap kampung.

Katanya, ia bukan produk dihasilkan bagi tujuan keusahawanan sahaja, sebaliknya apa-apa produk yang berpotensi untuk diketengahkan kepada penduduk tempatan, mahupun pengunjung luar.

“Sepanjang mengadakan lawatan ke Rumah Mak Wak Marji, di Jalan Kebun, di sini, saya nampak bahawa itu antara contoh produk yang boleh diketengahkan.

“Justeru, saya mahu orang ramai kenal tempat ini dan memastikan pengunjung yang datang mengetahui bahawa tempat ini juga terdapat pengumpulan barangan antik yang mungkin boleh dijadikan mini muzium jika penduduk kampung mengambil inisiatif dalam mengetengahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Klang, di Padang Rakyat Jalan Kebun, Kampung ‪Jalan Kebun Batu 7‬, di sini, semalam.

Selaras pendekatan itu, Rodziah berkata, produk kepada tokoh, khususnya agamawan juga wajar dilakukan memandangkan golongan terbabit adalah ‘agent society’ yang membawa pandangan dan suara masyarakat.

“Menerusi belanjawan Selangor 2019 yang dibentangkan semalam, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf penglibatan warga emas iaitu untuk membuat satu lokasi berkeluasan 1,200 kaki persegi bagi ruang interaksi masyarakat setempat bersama warga emas.

“Jadi, dengan adanya tempat interaksi ini membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pandangan, selain menyaksikan ‘transition’ zaman dahulu dengan sekarang serta melihat kesan terhadap pemodenan itu sendiri,” katanya.


Pengarang :