PENDIDIKAN

Keputusan PPSR, UPSR diumum 29 November ini

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 diumumkan pada 29 November ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, calon terlibat boleh mengambil keputusan tersebut di sekolah masing-masing bermula 10 pagi.

Katanya, tindakan sama boleh dilakukan menerusi perkhidmatan semakan keputusan UPSR 2018 melalui mySMS 15888.

“Perkhidmatan talian tersebut diaktifkan bermula 10 pagi, 29 November dan ditamatkan pada 6 petang, 8 Disember.

“Waris dibenarkan mengambil dokumen pelaporan sekiranya murid tidak dapat mengambilnya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan keputusan UPSR dan Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) 2018 juga boleh dibuat melalui portal Lembaga Peperiksaan di laman Ip.moe.gov.my.

PPSR merupakan dokumen yang melaporkan kejayaan murid pada akhir persekolahan peringkat rendah yang merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan UPSR bagi murid aliran perdana atau PASR bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran.

-BERNAMA


Pengarang :