NASIONAL

Kerajaan cadang wujudkan reit pertama dunia untuk lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) bagi Lapangan Terbang iaitu skim pertama seumpamanya di dunia.

Ketika mengumumkan cadangan itu menerusi Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pelabur skim REIT berkenaan memperoleh pulangan fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Menerusi (cadangan) inisiatif ini, kerajaan berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30 peratus ekuiti REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur yang berkualiti,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya, Lim berkata program tersebut akan dilaksanakan selepas rundingan fi pengguna dan Pangkalan Aset Diselia dimuktamadkan.

REIT Lapangan Terbang juga akan berpeluang menerbitkan unit REIT baharu atau mendapatkan pinjaman bagi membiayai penambahbaikan lapangan terbang, terutamanya lapangan terbang yang melebihi kapasiti, katanya.

“Struktur kewangan ini akan mengurangkan bebanan hutang kerajaan untuk membiayai projek pembesaran lapangan terbang.

“Pada masa sama, peranan MAHB sebagai operator aset ringan dapat dikekalkan tanpa perlu dibebankan dengan pelaburan modal dan hutang yang besar,” katanya.

Menurut Lim, projek lain juga boleh menerima pakai pembiayaan dan struktur pelaburan seumpama ini seperti hospital dan infrastruktur rel.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :