EKONOMINASIONAL

Kerajaan dijangka terbit bil perbendaharaan tambahan RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kerajaan dijangka menerbitkan bil perbendaharaan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi tujuan pengurusan aliran tunai, menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Jumlah pinjaman kasar kerajaan dianggarkan mencecah RM112.9 bilion atau 7.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini, iaitu RM53.3 bilion untuk membiayai defisit manakala baki RM61.2 bilion untuk pembiayaan semula hutang.

“Pinjaman dalam negeri kekal sebagai sumber utama pinjaman iaitu 99.9 peratus daripada jumlah pinjaman kasar manakala pinjaman luar pesisir kekal minimum 0.1 peratus,” menurut laporan itu.

Pasaran bon Malaysia yang maju dan kukuh telah mewujudkan kecairan yang mencukupi dalam pasaran kewangan domestik, dan ini membolehkan kerajaan mendapatkan keperluan pinjaman dalam mata wang tempatan.

Kelebihan ini dapat mengurangkan pendedahan langsung Malaysia terhadap risiko tukaran mata wang asing dan kadar faedah, menurut laporan itu.

Bagi pinjaman dalam negeri, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dijangka lebih tinggi iaitu RM63.8 bilion (56.5 peratus) daripada jumlah pinjaman kasar (2017: RM53.5 bilion, 46.9 peratus).

Peningkatan trend penerbitan kertas patuh syariah menunjukkan komitmen berterusan untuk mempromosikan instrumen Islam di samping menyediakan kepelbagaian platform bagi portfolio dan risiko pelabur.

Menurut laporan itu, terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia dijangka merangkumi 43.4 peratus daripada jumlah pinjaman kasar atau RM49 bilion pada 2018.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :