SELANGOR

Kerajaan Negeri tolak pengambilalihan tanah sebagai jalan penyelesaian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri memberi jaminan Kuil Maha Mariamman di Seafield tidak akan dirobohkan, sehingga 11 Januari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa sama, pihaknya menetapkan syarat supaya tiada sebarang perhimpunan dan provokasi dilakukan bagi membolehkan perbincangan dilakukan, dalam masa terdekat.

“Jika semua kembali aman dan mereka patuh dengan arahan Kerajaan Negeri, maka kita akan adakan perbincangan dengan semua pihak, pada 4 Disember ini.

“Tidak kisah jika pertemuan ini secara empat mata atau berasingan. Kita tetap akan cuba capai kata sepakat,” katanya dalam sidang media selepas sesi perbahasan pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di Dewan ANNEX, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta barisan Ahli Majlis Nesyuarat Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berpendirian teguh dan mengulangi tekad mencari penyelesaian dalam ruang lingkup perundangan serta menurut kedaulatan undang-undang.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia menjadi orang tengah dalam perbincangan antara pihak yang terbabit bagi mencari penyelesaian.

“Kita juga mahu menghentikan sebarang desas-desus yang sedang berlegar kononnya Kerajaan Negeri akan mengambil alih tanah itu.

“Perkara ini tidak benar dan sangat menyimpang. Kerajaan Negeri menolak untuk mengambil alih tanah itu kerana ia akan menghasilkan kesan kewangan yang besar dan bakal meletakkan duluan yang tidak baik kepada kes akan datang,” katanya.


Pengarang :