NASIONAL

Kerajaan tekad kekalkan keamanan, tegas tangani pihak gugat keharmonian

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kerajaan akan memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa, tegas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Dr Mahathir turut memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan berkompromi sebaliknya bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan perkara tersebut.

“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka sahaja, maka kerajaan yang mendokong prinsip ‘rule of law’, juga akan bertindak berdasarkan undang-undang,” katanya.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, Isnin lalu.

Tegasnya, ia bukan niat kerajaan menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua pihak harus faham akan batas-batas demokrasi.

“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara,” katanya.

Bukan isu perkauman

Dr Mahathir juga sekali lagi menekankan bahawa insiden tersebut bukan isu perkauman atau berkaitan agama tetapi tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan hubungan antara kaum di negara ini.

Katanya, kerajaan juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang usaha provokasi dan terhadap mereka yang cuba mencabar undang-undang negara.

“Kerajaan berjanji tidak melakukan sebarang halangan pemberitaan dan komunikasi tetapi kebebasan ini harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan bukan untuk mengapi-apikan keadaan yang boleh membawa kepada perpecahan dan keharmonian perhubungan antara kaum.

“Ini juga bukan masa menuding jari terhadap sesiapa. Pihak polis sudahpun diberi tanggungjawab untuk mengawal ketenteraman serta menjalankan siasatan. Yang bersalah akan tetap bersalah dan akan menghadapi tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.

Kecederaan, kerosakan harta benda awam

Dr Mahathir berkata, kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam dan persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dipandang ringan.

“Kerajaan tidak memandang ringan insiden seperti ini yang boleh membawa kepada masalah lebih besar melibatkan ketenteraman kaum. Saya diberi penerangan tentang perkembangan terkini siasatan ke atas insiden ini serta tindakan susulan yang diambil pihak berkuasa.

“Saya berpuas hati dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak untuk mengawal keadaan ini daripada merebak,” katanya.

Rusuhan itu telah menyebabkan kecederaan parah seorang anggota bomba, Mohd Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara.

Ia juga menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota keselamatan dan orang awam selain kerosakan harta benda awam dan persendirian.

Sehingga kini, 30 individu ditahan polis untuk siasatan berhubung kes tersebut.

-Bernama


Pengarang :