BERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan yakin mampu laksana gaji minimum

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kerajaan yakin penetapan gaji minimum, pada kadar RM1,500 sebulan dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya tidak menolak kadar gaji minimum itu akan dikaji setiap tahun, walaupun Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 memperuntukkan ia harus dilakukan setiap dua tahun.

“Jika ada masalah besar atau perkara yang ada keperluan, mungkin ia boleh dibuat lebih dari sekali,” katanya pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, lapor BERNAMA.

Beliau menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu kerajaan menyatakan rasional penetapan gaji minimum, pada paras RM1,050 sekarang ini yang disifatkan ‘terlalu rendah’.

Katanya, kerajaan mengambil maklum kadar berkenaan tidak begitu tinggi, namun ia adalah pendekatan rasional untuk mengelakkan kos operasi majikan meningkat secara mendadak terutama bagi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, peningkatan RM50 bagi Semenanjung dan RM130 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan adalah munasabah serta tidak membebankan 90 peratus majikan terdiri daripada sektor IKS.

“Peningkatan gaji minimum akan meningkatkan kos operasi majikan antaranya caruman KWSP, Perkeso dan pembayaran lebih masa cuti umum serta hari rehat dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang agak perlahan, pada kadar 4.5 peratus, pada suku kedua tahun ini berbanding 5.4 peratus, pada suku pertama.

“Ia juga perlu dilihat daripada kesan kemasukan pelaburan asing ke negara kita selain kerajaan perlu pastikan pelabur sedia ada terus kekal di Malaysia,” katanya.


Pengarang :