SELANGOR

Kerjasama dengan MARA jayakan Perantis Tahfiz TVET

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Selangor berhasrat mengadakan kerjasama dengan MARA dalam menyediakan program kecekapan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara formal untuk pelajar tahfiz.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program itu dilaksanakan bagi menyediakan golongan berkenaan dengan kemahiran tertentu supaya lebih kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan pendapatan lumayan serta dapat menikmati taraf hidup lebih baik.

“Perkara ini juga sebagai tambahan kepada kebolehan mereka dalam menghafal al-Quran, sekali gus mempunyai kemahiran dalam bidang TVET.

“Program yang dikenali dengan nama Perantis Tahfiz TVET yang akan dilaksanakan secara projek perintis di empat daerah terpilih iaitu Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak yang menyasarkan 100 pelajar tahfiz tulen untuk diberikan kemahiran,” katanya.

Amirudin berkata, pada masa ini terdapat kategori pelajar swasta tahfiz yang tidak mempunyai korikulum dan sistem pendidikan akademi moden.

Katanya, langkah itu sejajar dengan persaingan dunia global serta pekerjaan yang menuntut pembaharuan dalam pengajian tahfiz.


Pengarang :