SELANGOR

Kerjasama tingkatkan tenaga mahir rawat penyakit jantung

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 12 NOV: Pusat Perubatan Sunway kini dalam usaha meningkatkan tenaga mahir selain mendapatkan peralatan terkini bagi merawat masalah kesihatan terutamanya penyakit nombor satu iaitu jantung menerusi kerjasama antara Universiti Cambridge dan Hospital Royal Rapworth.

Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah AO berkata, kerjasama antara Hospital Royal Papworth dan Pusat Perubatan Sunway akan mencetuskan pembangunan lanjut dalam perkhidmatan klinikal dalam bidang kardiologi, perubatan pernafasan, pembedahan kardiotoraks dan onkologi toraks.

Katanya, beberapa projek kerjasama khusus dalam bidang penyakit jantung, kanser serta paru-paru sedang dirancang yang akan memberi manfaat kepada pesakit hospital itu.

“Memandangkan penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu dalam kalangan warga Malaysia sejak sedekad yang lalu, maka simposium ini adalah sejajar dengan topik jantung dan vaskular.

“Kami turut menyokong keperluan menjayakan platform bertukar pengetahuan dalam kalangan rakan-rakan pengamal perubahan dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Simposium Jantung dan Paru-Paru anjuran Cambridge-Royal Papworth-Sunway di Pusat Perubatan Sunway, di sini.

Terdahulu, simposium itu diadakan selama tiga hari membabitkan barisan penceramah daripada pakar-pakar hospital terbabit.

Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye.

Sebagai tambahan kepada perkongsian pengetahuan oleh Pusat Perubatan Sunway bersama universiti-universiti dan hospital terkenal di dunia, kini Pusat Jantung dan Vaskular berjaya ditubuhkan serta dilengkapi dengan teknologi terkini.

Kerjasama itu akan membantu memastikan bahawa piawaian memenuhi standard dan dikekalkan.

Pusat itu bakal menawarkan keseluruhan spektrum perkhidmatan perubatan untuk masalah jantung dan vaskular bagi orang dewasa dan kanak-kanak termasuk perkhidmatan kecemasan 24 jam, pemeriksaan, mesin pengimbasan, ujian genetik, angiogram, prosedur belon dan stenting.

Pusat Perubatan Sunway memiliki mesin terkini, Philips Azurion 7 untuk pusat jantung dan vaskular.

Ia adalah satu sistem terapi berpandukan imej baharu, direka untuk melaksanakan prosedur intervensi kompleks dalam diagnosis dan rawatan saluran darah jantung yang tersumbang bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.


Pengarang :